Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Latest News

MAJLIS PENYAMPAIAN SIJIL DAN SURAT LANTIKAN FIRE MARSHAL BAGI PEGAWAI DAN KAKITANGAN JABATAN KERJA RAYA 2023

Rabu, 15 Jamadilawal 1445H | 29 November 2023M

Bandar Seri Begawan


​Majlis Penyampaian Sijil dan Surat Lantikan Fire Marshal bagi Pegawai dan kakitangan Jabatan Kerja Raya telah diadakan pada hari Rabu, 29 November 2023 di Ibu Pejabat, Jabatan Kerja Raya. Penyampaian sijil ini disempurnakan oleh Yang Mulia Awang Haji Shaharuddin Khairul bin Haji Anuar, Pemangku Ketua Pengarah Kerja Raya selaku Tetamu Kehormat majlis.

Seramai 48 orang peserta kursus yang terdiri dari Pegawai dan kakitangan Jabatan Kerja Raya telah mengikuti kursus Fire Marshal pada bulan Mei dan Jun 2023 yang dikendalikan oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat, Balai Bomba Kampong Rimba.

Majlis diadakan bagi memperakui Pegawai dan kakitangan yang telah lulus di dalam kursus yang dijalani dan diselajurkan dengan perlantikan peserta sebagai Fire Marshal bagi Jabatan-jabatan di bawah Jabatan Kerja Raya. Lantikan Fire Marshal ini adalah sah bagi tempoh empat (4) tahun sehingga 2028. Dengan adanya lantikan ini, keramaian ahli pasukan bertindak atau Emergency Response Team (ERT) di Jabatan Kerja Raya semakin bertambah. Ini dapat membantu dari segi aspek pencegahan kebakaran dan kebersediaan untuk bertindak jika berlaku kebakaran atau kecemasan di tempat kerja masing-masing.

Majlis tersebut diisikan sesi perkongsian maklumat mengenai Kepentingan Pencegahan Kebakaran di Tempat Kerja yang telah disampaikan oleh SSFR Ema Azeema binti Haji Abdul Kader Jailani, Pegawai Pemerintah Cawangan Operasi 'C' wakil dari pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat. Dalam sesi berkenaan, beliau telah menekankan tujuan utama atau kepentingan kursus Fire Marshal antaranya adalah untuk memberi pendedahan kepada kepentingan pencegahan kebakaran di tempat kerja serta memahami tugas dan tanggungjawab seorang Fire Marshal.

Sebagai persediaan kecemasan kebakaran di tempat kerja bagi Jabatan Kerja Raya, dua (2) sesi latihan kebakaran atau Fire Drill telah diungkayahkan di Bangunan Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya dan juga di bangunan Jabatan Pembetungan dan Saliran, Jalan Landasan Lama. Latihan kebakaran ini adalah penting bagi menilai sejauh mana tahap persediaan warga kerja serta petugas-petugas kebakaran atau Fire Marshal apabila berlakunya kecemasan dan kebakaran. Latihan ini merupakan salah satu inisiatif dalam rangka kerja keselamatan di tempat kerja, Jabatan Kerja Raya bagi memenuhi keperluan keselamatan di tempat kerja.

 Website-FM.jpeg

Disediakan oleh
Unit Perhubungan Awam
Jabatan Kerja Raya
Kementerian Pembangunan
pro@pwd.gov.bn​



Attachments